Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
YBhg Dato’/Datin/Prof/Prof Madya/Dr/Tuan/Puan,
JEMPUTAN MENYERTAI PROGRAM JOM BACA: SATU CERITA, SATU INSPIRASI DIKONGSI BERSAMA SESI NOVEMBER 2026, ANJURAN PERPUSTAKAAN DIGITAL TAN SRI DR ABDULLAH SANUSI, OPEN UNIVERSITY MALAYSIA (OUM)
Perpustakaan Digital Tan Sri Dr Abdullah Sanusi, Open University Malaysia (OUM) dengan sukacitanya menjemput semua warga OUM/METEOR, pelajar OUM serta ahli keluarga untuk menyertai Program Jom Baca: Satu Cerita, Satu Inspirasi Dikongsi Bersama bagi Sesi November 2026 yang akan diadakan seperti ketetapan berikut:
Tarikh : 24 November 2026 (Selasa)
Masa : 10.00 – 11.30 pagi
Tempat : Aras 2, Perpustakaan Digital Tan Sri Dr Abdullah Sanusi, OUM
Tema : Kesusasteraan
Program ini sekali lagi memberi peluang kepada para peserta untuk berkongsi bahan bacaan dan memperkenalkan karya-karya kesusasteraan yang merangkumi pelbagai genre, seperti novel, cerpen, puisi, drama dan karya sastera klasik atau moden, sama ada dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris mahupun bahasa lain. Perkongsian ini diharapkan dapat memperkenalkan keindahan bahasa, keunikan gaya penulisan serta nilai-nilai dan pemikiran yang terkandung dalam sesebuah karya. Di samping itu, program ini bertujuan menyemarakkan budaya membaca, meningkatkan apresiasi terhadap karya kesusasteraan, memperluas perkongsian ilmu dan pengetahuan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga OUM/METEOR, para pelajar dan ahli keluarga.
Sehubungan itu, semua warga OUM/METEOR, para pelajar serta ahli keluarga adalah dijemput untuk mengambil bahagian dan berkongsi bahan bacaan yang bersesuaian dengan tema yang telah ditetapkan.
Syarat Penyertaan (Peserta Perkongsian):
- Terbuka kepada semua staf OUM/METEOR, semua pelajar OUM serta ahli keluarga staf dan pelajar.
- Peserta hendaklah berkongsi bahan bacaan mengikut tema yang ditetapkan bagi setiap bulan.
- Tempoh perkongsian adalah maksimum 20 minit bagi setiap peserta.
- d) Peserta hendaklah mengisi borang penyertaan yang disediakan oleh pihak perpustakaan.
- Penyertaan adalah terhad kepada empat (4) peserta sahaja bagi setiap bulan.
- Peserta hendaklah membawa sendiri bahan bacaan bertemakan Kesusasteraan yang akan dikongsikan semasa sesi perkongsian.
- Sijil penyertaan dan cenderamata disediakan kepada semua peserta.
Bahan Bacaan:
- Puisi Tradisional – pantun, Syair, Gurindam, Seloka, Nazam
- Puisi Moden – Sajak patriotik, sajak kemanusiaan, sajak alam sekitar, sajak motivasi, sajak cinta ilmu.
- Prosa Tradisional – Hikayat, Cerita Penglipur Lara, Cerita Jenaka, Cerita Teladan, Mitos dan Legenda
- Karya Klasik Melayu – Hikayat Hang Tuah, Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Hikayat Merong Mahawangsa
- Karya Sasterawan Negara – karya yang dihasilkan oleh tokoh yang telah menerima pengiktirafan sebagai Sasterawan Negara Malaysia atas sumbangan dan pencapaian mereka dalam bidang kesusasteraan. Bahan bacaan – novel, cerpen, puisi/sajak, drama atau karya lain yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara.
Peraturan Perkongsian Bacaan:
Peserta hendaklah memastikan perkongsian bacaan adalah berfokus kepada kandungan bahan bacaan serta tidak menyentuh atau mengaitkan isu-isu sensitif seperti politik, agama, perkauman atau perkara lain yang boleh menimbulkan kontroversi, salah faham atau menyinggung mana-mana pihak.
Peserta yang berminat untuk membuat perkongsian boleh mendaftar melalui pautan berikut atau mengimbas Kod QR yang terdapat pada poster program:
Borang Penyertaan Sebagai Peserta
Semua pengunjung yang ingin menghadiri program ini juga adalah diminta untuk membuat pengesahan kehadiran terlebih dahulu melalui pautan RSVP yang telah disediakan bagi tujuan pendaftaran dan penyelarasan kehadiran.
Tarikh tutup pendaftaran peserta dan pengunjung ialah selewat-lewatnya pada 20 November 2026, Jumaat bagi memudahkan urusan persediaan program.
Diharapkan semua yang hadir dapat merancang kehadiran mengikut masa yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran perjalanan program. Sebarang pertanyaan, sila hubungi: Puan Rohana Hussin di talian WhatsApp: 010-522 1925 E-mel: rohana@oum.edu.my
Semoga program ini menjadi platform yang bermanfaat untuk berkongsi ilmu, memupuk budaya membaca serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga OUM/METEOR, pelajar dan ahli keluarga.
Ayuh sertai kami dan jadikan setiap bacaan sebagai satu perkongsian yang mampu memberi inspirasi kepada orang lain.
Sekian, terima kasih.